Friday, 10 March 2017

Resepi Ambuyat

Ambuyat adalah makanan tradisi masyarakat Brunei, Sabah dan Sarawak. Ambuyat ni berasal dari pokok rumbia kemudian di jadikan tepung sagu.

Mau cuba makanan tradisi kami? Jom kita tengok cara2nya.



Bahan A

1 kg (6 cawan) sagu rumbia
Air panas yang baru dimasak
1 liter (4 cawan) air

Bahan B

600 g ikan putih/tongkol/tenggiri/kurau/senangin
40 g (5 ulas) bawang merah
10 g (2 ulas) bawang putih
10 g (2 sm) kunyit hidup  ditumbuk kasar
10 g (2 sm) halia
3 g (5 biji) cili padi
30 g (2 batang) serai, diketuk
5 g (5 keping) asam keping
9 g (1 sudu teh) garam
625 ml (2 cawan) air

Bahan C

500 g (60 pokok) pucuk paku, dibersihkan dan dipetik
3 g (1/2 sudu teh) garam
10 g (1 sudu makan) minyak sayuran
20 g (3 ulas) bawang merah
10 g (2 ulas) bawang putih ditumbuk
10 g (1 sudu makan) belacan
125 ml (1/2 cawan) air
1 biji cili merah (dihiris) untuk hiasan

Cara memasak

Bahan A

Cara membuat ambuyat:
1. Sagu dicampur dengan 4 cawan air dan mendapkan selama 10 minit.
2. Tuang air dan masukkan sagu ke dalam bekas yang tahan air panas.
3. Bancuh sagu dengan air panas yang baru mendidih. Kacau hingga sebati dan masak sehingga sagu kelihatan jernih dan likat (seperti gam. Ini menandakan sagu itu telah masak).

Bahan B

1. Ikan dibersih dan dipotong 5 keping.
2. Masak di dalam periuk bersama-sama dengan bahan-bahan lain. Rebus sehingga masak.

Bahan C

1. Panaskan minyak di kuali dan tumis semua bahan yang ditumis sehingga naik bau.
2. Masukkan sayur pucuk paku dan garam. Tambah 1/2 cawan air. Masak hingga empuk. Hiaskan dengan cili merah.

Nota:

1. Ambuyat dimakan menggunakan candas (atau kayu penyepit) dan dicelup dengan kuah ikan dan terus dimakan bersama-sama dengan sayur pucuk paku.
2. Sagu adalah makan ruji untuk kaum Bisaya. Resipi ini adalah makanan seimbang, kaya dengan karbohidrat kompleks dan serat serta rendah lemak dan garam.
3. Bagi Semenanjung Malaysia yang susah untuk mendapatkan sagu rumbia, boleh diganti dengan biji sagu atau sagu ubi yang mana perlu dimasak diatas api sehingga sagu kelihatan jernih.



# Makanan ini baik dimakan sewaktu masih panas.

No comments:

Post a Comment